Friday 8 November 2013

Tahi Lalat boleh bertukar menjadi Kanser?

Minggu lalu seorang pesakit menemui saya,nenek yang berumur 70 tahun ini mengadu tahi lalat di lengan kanan nya sejak lebih 10 tahun lalu membesar dan gatal. kadang-kadang tahi lalat ini akan berdarah jika digaru atau terlanggar sesuatu benda keras. masalah ini bermula sejak 4 bulan lalu. di bawah adalah gambar tahi lalat nenek ini. Nenek ini telah dirujuk kepada pakar pembedahan plastik untuk menjalani pembedahan 'excision biopsy' dengan segera.







KANSER KULIT

Golongan yang berisiko tinggi menghidapi Kanser kulit ialah :
   1. Mereka yang selalu terdedah kepada cahaya matahari seperti buruh kasar, nelayan dan petani.
   2. Mereka yang selalu terdedah kepada bahan kimia seperti racun serangga dan rumpai.
   3. Perokok

Simptom-simptom Tahi lalat mula berubah menjadi kanser :
  1. Membesar dengan tiba-tiba dan cepat.
  2. Mula berasa sakit atau gatal
  3. Mudah berdarah.

Anda juga perlu risau tentang tahi lalat apabila ia mula kelihatan :
A - Asymetrical : bentuk berubah menjadi tidak simetri
B - Border ill define : sisi sempadan tahi lalat tidak jelas kelihatan
C - Color not homogenous - warna menjadi tidak sama dan seragam
D - Diameter : diameter > 0.5cm
 
Kanser Kulit agak agresif dan ia mudah merebak ke organ lain seperti hati, limpa dan otak.
Rawatan yang cepat boleh mengelakkan kanser ini daripada merebak.

jadi untuk soalan 'Tahi Lalat boleh menjadi Kanser?'....jawapannya ialah YA, BOLEH

P/S
1. Perhatikan tahi lalat anda.
2. Jika ada ciri-ciri ABCD....jalani pemeriksaan perubatan dengan segera.

Thursday 7 November 2013

PERLU AMBIL TAHU : DEMAM DENGGI

Demam Denggi adalah satu wabak penyakit yang sedang hangat diperkatakan. Setiap tahun notifikasi demam dengki semakin meningkat dan begitu juga bilangan kematian disebabkan virus ini.

Demam denggi adalah disebabkan oleh virus denggi. virus ini dibawa oleh nyamuk Aedes. apabila nyamuk ini menggigit/menghisap darah manusia dan virus akan dipindahkan ke dalam badan manusia.



Pesakit akan mula mengalami simptom selepas 4-7 hari mendapat jangkitan virus denggi (incubation period).

Demam denggi boleh dibahagikan kepada 3 fasa :

1. Fasa Demam
2. Fasa kritikal
3. Fasa pemulihan

Fasa Demam

Fasa ini biasanya meliputi hari pertama hingga hari ke-2 demam
Biasanya pesakit akan mengalami
   1. Demam tinggi - biasanya suhu lebih daripada 38.5
   2. Sakit di belakang mata (retro-orbital pain)
   3. Sakit kepala
   4. Sakit sendi
   5. Sakit otot
   6. loya
   7. Muntah
   8. kulit kemerah-merahan
* jika dilakukan ujian darah - full blood count (FBC). Pada peringkat ini bilangan sel darah putih (White blood cells -WBC ) akan rendah.

Fasa Kritikal

Fasa ini meliputi hari ke-3 hingga ke-5 demam. ketika ini biasanya suhu badan kembali normal bagaimanapun keadaan pesakit masih tidak sihat dan bertambah lemah. pesakit boleh mengalami keadaan seperti berikut :
    1. resah
    2. Kulit menjadi sejuk dan lesu
    3. Muntah yang teruk
    4. Tidak bermaya
    5. sakit perut yang kuat
    6. pendarahan. contoh : hidung berdarah, gusi berdarah, kencing berdarah, 'period' yang banyak bagi               kaum hawa.
jika tidak bernasib baik pada ketika ini pesakit boleh koma atau meninggal dunia.
Biasanya fasa kritikal ini berlarutan sehingga 24-48 jam sahaja.

*jika ujian darah dijalankan, bilangan platlet akan rendah pada fasa ini.

Fasa Pemulihan

Ketika fasa ini keadaan pesakit adalah sedang pulih. Tiada demam, muntah atau sakit perut. pesakit mula selera makan dan badan berasa lebih kuat. bagaimanapun pesakit boleh mengalami beberapa tanda yang tidak berbahaya iaitu :
           1. kulit menjadi ruam ( 'isles of white in the sea of red')
           2. kulit berasa gatal


                              'isles of white in the sea of red


Penting bagi kita mengenalpasti ciri-ciri demam denggi. jika dapat dikesan lebih awal, rawatan yang sepatutnya lebih cepat dapat diberikan dan mungkin boleh menyelamat nyawa seseorang.

Soalan-soalan lazim

Denggi tiada rawatan?

Ya, malang sekali sehingga kini tiada ubat(anti-virus) atau vaksin yang dapat membunuh virus denggi. Jika pesakit dimasukkan ke dalam hospital rawatan sokongan akan diberikan seperti menambah air dalam badan, menambah paltlet jika berlaku pendarahan, bantuan oksigen dan pemerhatian yang rapi. badan kita akan melawan dan menghasilkan antibodi dengan sendiri bagi membunuh virus ini. bagaimanapun semasa proses penghasilan antibodi, keadaan pesakit boleh menjadi kritikal disebabkan tindakbalas badan kepada virus ini.

Mengapa ada pesakit denggi tidak dimasukkan ke dalam hospital?

Bagi pesakit yang dijangkiti virus denggi tetapi tidak mempunyai tanda-tanda yang berbahaya seperti muntah-muntah yang teruk, tiada risiko pendarahan, tekanan darah normal dan ujian darah sedikit abnormal (contohnya: sel darah putih rendah sedikit tetapi keputusan lain normal). pesakit ini juga secara logistik tinggal berdekatan dengan hospital, ada penjaga yang boleh memerhatikan pesakit dirumah dan mempunyai kenderaan untuk datang semula ke hospital jika perlu. Maka pesakit seperti ini tidak perlu dimasukkan kedalam wad. tetapi pesakit perlu datang ke hospital setiap hari untuk menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian darah.

P/S :
1. Cegah denggi dengan musnahkan tempat pembiakan nyamuk.
2. Segera dapatkan rawatan jika anda mempunyai tanda-tanda awal demam denggi.